Tuesday 13 December 2011

aku dan mereka semakin jauh dan hilang

Aku memang teringin sangat nak tau asal usul keluarga ku. Baik dari sebelah abah atau pun emak. Banyak cerita yang aku kutip dari arwah2 nenek saudara aku dan nenek aku sendiri, lebih lebih lagi nenek dari sebelah abah. Mesti orang lain terfikir kenapa aku berminat sangat nak menjejak asal keturunan keluarga aku. Aku ada alasan  tersendiri untuk berbuat demikian. Paling penting pada aku sekiranya kita mengetahui asal keturunan kita, kita akan lebih mengenali diri sendiri dan akan menghakis rasa rendah diri. Lihat sahaja bangsa bangsa lain, mereka begitu berbangga dengan asal keturunan mereka dan dengan kebanggaan itu mereka berjaya mencipta berbagai bagai kejayaan. Semuanya hanya kerana mahu menjaga keagungan salasilah keturunan mereka. Kebanyakan mereka mempunyai rekod tentang sejarah keluarga. Ada di kalangan mereka ini yang menganggap keluarga yang tidak menyimpan rekod salasilah keluarga adalah keluarga yang rendah dari segi statusnya. Mengapa kita tidak berbuat demikian, adakah rasa persaudaraan tidak erat untuk bangsa kita dan apabila keeratan itu longgar maka bangsa akan lemah. Sebangsa bermakna bersaudara, lahir dari satu induk biar pun sempadan geografi merupakan batas yang memisahkan bangsa dan kaum keluarga kita.

Pengalaman aku berada di Turki selama lebih kurang sebulan menjadikan aku takut kehilangan bangsaku. Orang-orang Turki yang majoritinya beragama Islam pada dasarnya, apabila ditanya tentang agama ramai yang menjawab tidak pasti dan apabila ditanya bangsanya tidak seorang pun yang mengatakan mereka adalah orang Turki sejati. Persoalan ini membuatkan aku terfikir ke manakah hilangnya bangsa Turki atau sememangnya negara Turki terbina dengan kepelbagaian bangsa. Apabila hilang bangsa maka hilanglah kedaulatan bangsa tersebut. Rakyat Turki seolah olah lebih berbangga dengan mengakui mereka berdarah Greece, German, Itali, Sepanyol dan sebagainya. Apakah mereka menganggap berdarah Turks itu menjadikan mereka rendah dari segi status atau kerana mereka tidak mengenal asal keturunan mereka. Seagung bangsa Turks sendiri ditidakan martabatnya oleh keturunannya sendiri, apa lagi kita yang tidak pernah mahu mengenal asal usul. Rakyat Turki lebih memandang barat sebagai paksinya dan ideologi mereka tentang Islam mengelirukan aku. Aku tidak mahu kehilangan bangsaku  dan aku tidak mahu kehilangang akar di mana pohon keluargaku mula bertunas.

Sikap untuk tidak mengakui kemurnian darah bangsa semakin menebal di kalangan bangsaku. Memilih untuk tidak menjadi sejati Melayu bagaikan satu trend dan kemegahan. Mungkin berlaku persilangan darah pada generasi yang terdahulu, tetapi kita harus melihat diri kita hari ini baik dari segi fizikal atau kecenderungan budaya yang kita anuti. Kenapa apabila ditanya tentang bangsa dengan bangganya persilangan bergenerasi lamanya yang disebut terlebih dahulu bukannya "saya sejati Melayu dan darah Melayu saya bersilang dengan darah bangsa lainnya". Aku bukan seorang yang racist, aku suka akan kepelbagaian bangsa. Aku mahu semua bangsa gembira menjadi bangsanya, bukan malu atau merasa rendah diri dan untuk tidak merasa rendah diri kita mesti mengenal bangsa kita, mengenal bangsa adalah mengenal saudara. Lihatlah negara China hari ini kemajuannya sangat drastik berbanding cuma sepuluh tahun yang lalu kerana rakyatnya berusaha memartabatkan bangsanya setanding dengan bangsa bangsa maju yang lain di dunia. Bila di tanya bagaimana mereka melakukannya mereka menjawab mereka mahu menjadikan kembali bangsa mereka bangsa yang terulung di dunia. Pelik bukan.... mereka berjuang lebih kepada bangsa bukan negaranya.

Aku selalu melihat bangsaku memandang perkara ini sebagai satu perkara yang remeh. Mereka yang melalak tentang perkara ini kebanyakannya ahli ahli politik yang berkepentingan. Apa yang kelakarnya ada di kalangan keluarga rapat mereka yang aku kenal cara hidupnya bukan Melayu, pertuturan tidak Melayu, makanannya tidak Melayu, akhlaknya tidak Melayu dan mereka sendiri memandang Melayu dengan jelek. Aku tidak menunding jari ke mana mana pihak, tetapi ini hakikat yang perlu ditelan. Inilah sikap bangsaku, inilah sifat saudaraku. Saudara maraku bukan bangsa kelas kedua, saudara maraku telah membina kemegahan sejak zaman berzaman. Juga kerana kemegahan ini, aku menjadi teruja untuk mencari asal keturunanku walaupun aku kehilangan punca....yang pernah aku lihat hanyalah jurai keluargaku di atas kertas lusuh, selusuh harga diri aku dan keluargaku, kerana kami semakin jauh dan hilang...... PERTALIANNYA.










No comments:

Post a Comment